Artikel

Tips untuk Sentiasa Bermotivasi semasa Mengulang kaji Pelajaran.

“Dah 2 jam ni, aku tak boleh ingat langsung apa yang aku baca dari tadi”
Pernahkah anda mengeluh seperti di atas ketika sedang mengulang kaji. Mana tidaknya, setelah mengambil masa selama berjam-jam, namun tidak langsung dapat memahami apa yang di ulangkaji.
Fikiran seperti itu boleh menimbulkan perasaan yang sukar sekali gus membuatkan motivasi menjadi rendah. Oleh itu, untuk terus memotivasikan diri ketika mengulang kaji pelajaran, kami ingin berkongsi beberapa tip yang boleh diikuti.
Meletakkan matlamat di sini bukanlah bermaksud menyasarkan untuk mendapat A+ dalam peperiksaan. Mendapatkan A+ sepatutnya menjadi sebuah matlamat utama kerana semua pelajar ingin mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Sebelum mencapai matlamat utama tersebut, anda perlulah meletakkan matlamat yang kecil-kecil terlebih dahulu. Contohnya, pada hari ini anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan dan memahami satu bab kecil dalam pelajaran anda.
Selepas berjaya menghabiskan satu topik kecil tadi, pastikan anda memberikan ganjaran kepada diri anda. Memberikan ganjaran kepada diri sendiri sangat penting setelah berjaya mencapai matlamat tadi, kerana manusia sangat memerlukan motivasi untuk terus melangkah dalam kehidupan. Memberikan ganjaran kepada diri sendiri tidak semestinya dengan menghadiahkan sesuatu yang berupa barangan tetapi boleh juga dilakukan dengan melakukan perkara-perkara yang mudah seperti memberi masa untuk bermain permainan video atau melakukan perkara yang anda minat.
Ada orang yang suka belajar pada waktu pagi, ada juga yang suka belajar pada waktu malam, kerana pada waktu tersebut mereka dapat menelaah dan memahami pelajaran dengan lebih baik. Ambil masa untuk mengenal pasti pada waktu bilakah anda dapat mengoptimumkan pemahaman anda terhadap apa yang dipelajari. Jika anda sebenarnya seorang “morning person”, tetapi memilih untuk mengulang kaji sehingga lewat malam, perkara tersebut sebenarnya tidak membantu untuk anda mengingati pelajaran kerana akan kehilangan fokus.
Anda telah membaca buku anda lebih 10 kali, tetapi tetap juga tidak dapat menangkap sebarang isi yang perlu difahami. Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini ketika mengulang kaji pelajaran? Sebenarnya, perkara itu merupakan petanda untuk memberikan minda anda beristirahat. Mengambil waktu sebentar untuk berehat akan membuatkan minda anda segar dan dapat meneruskan pelajaran semula. Dengan mengambil masa lima minit untuk berehat sebentar sebenarnya lebih produktif daripada anda meneruskan pelajaran. Meneruskan untuk mengulang kaji pelajaran pada waktu tersebut hanyalah sekadar mencurah air ke daun keladi sahaja kerana akan menjadi lebih letih dan motivasi untuk terus belajar akan jatuh.
Jangan memulakan ulang kaji anda mengikut turutan topik sebaliknya mulakan yang mudah terlebih dahulu. Jika anda memulakan ulang kaji mengikut topik yang mudah terlebih dahulu, masa yang diperlukan untuk menghabiskan topik-topik awal akan menjadi lebih cepat dan perkara ini akan meningkatkan motivasi untuk meneruskan ulang kaji tersebut.
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda untuk terus bersemangat dalam mengulang kaji pelajaran dan memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang kelak.