Artikel

Doa Menghadapi Peperiksaan & Doa Mudah Belajar

Telah menjadi lumrah dalam kehidupan umat Islam untuk berdoa kepada Allah SWT dalam kehidupan seharian. Doa bukan sahaja salah satu cara untuk meminta agar sesuatu hajat dikabulkan tetapi juga untuk memohon keampunan dan keredhaan daripada Allah.
Antara doa yang boleh diamalkan khususnya buat para pelajar/anak-anak dan ibu bapa adalah Doa Menghadapi Peperiksaan dan Doa Penerang Hati untuk mudah belajar dan menjawab soalan peperiksaan semasa menduduki peperiksaan.
Sebagai usaha untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan, kebiasaannya para pelajar mengulangkaji pelajaran dengan cara membaca, menghafal serta membuat latihan.
Namun begitu, belum tentu soalan yang kita dapat adalah sepertimana yang telah kita ulangkaji bersama guru-guru. Kadangkala, soalan yang diperoleh kelihatan seperti pernah dijawab tetapi pada waktu itu fikiran jadi blank yang menyebabkan kita terlupa.
Oleh itu, dengan membaca doa, insyaAllah ianya akan dapat membantu memudahkan segala urusan sepanjang menghadapi peperiksaan nanti sekaligus mendapat keputusan yang cemerlang.

Bacaan Doa-Doa Untuk Anda Menghadapi Peperiksaan & Mudah Belajar

Berikut dikongsikan doa-doa yang merangkumi doa sewaktu belajar, doa penerang hati serta doa menghadapi peperiksaan yang boleh dihafal dan diamalkan semua pelajar tidak kira semasa menghadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM atau lain-lain.

اَللَّهُمَّ ﭐفْتَحْ عَلَيْنَا حِكْمَتَكَ وَﭐنْشُرْ عَلَيْنَا مِنْ خَزَائِنِ رَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Maksudnya : Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmat-Mu dan limpahkanlah ke atas kami khazanah-Mu, Wahai Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

اَللَّهُمَّ نَوِّرْ قَلْبِيْ بِنُوْرِ هِدَايَتِكَ كَمَا نَوَّرْتَ ﭐلأَرْضِ بِنُوْرِ شَمْسِكَ أَبَدًا بِرَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Maksudnya : Ya Allah, terangilah hatiku dengan cahaya petunjuk-Mu sebagaimana Engkau bumi dengan matahari-Mu selama-lamanya, Ya Allah Yang Maha Mengasihani.

اَللَّهُمَّ اَلْهِمْنِيْ رَشْدِيْ وَقِنِيْ شَرَّ نَفْسِيْ

Maksudnya : Ya Allah, berikan aku petunjuk dan peliharalah aku dari kejahatan sendiri.

اَللَّهُمَّ افْتَحْ عَلَيْنَا فُتُوْحَ ﭐلعَارِفِيْنَ وَارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّـيْنَ وَإِلْهَامَ ﭐلمَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِيْنَ بِرَحْمَتِكَ يَآ أَرْحَمَ الرَّاحمِيِْنَ

Maksudnya : Ya Allah, bukakanlah pintu hati kami sebagaimana orang-orang yang arif, Kurniakanlah kepada kami kefahaman Nabi-Nabi dan ilham para Malaikat yang hampir dengan-Mu, dengan Rahmat-Mu Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

اَللَّهُمَّ إِنِِِّيْ أَسْتَوْدِعُكَ مَا عَلِمْتَنِـيْهِ فَارْدُدْهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ وَلاَ تَنْسَنِيـْهِ يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ

Maksudnya : Ya Allah, aku pertaruhkan kepada-Mu apa yang telah Engkau ajarkan kepadaku, maka kembalikanlah semula kepadaku jika aku memerlukannya dan janganlah Engkau buat aku melupainya, Wahai Tuhan Yang Sekalian Alam.

اَللَّهُمَّ اَلْهِمْنِيْ رَشْدِيْ وَأَعِذْنِى مِنْ شَرِّ نَفْسِيْ

Maksudnya : Ya Allah, ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah dari kejahatan nafsuku.

رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي

Maksudnya : Ya Allah, lapangkanlah dada (jiwaku) dan permudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.

Semoga perkongsian koleksi doa beserta Doa Penerang Hati ini dapat membantu memudahkan para pelajar dalam pembelajaran dan peperiksaan. Selamat berjaya buat semua untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.