Faedah Pemakanan yang Sihat
Di Amerika Syarikat, penyakit jantung merupakan punca kematian utama bagi individu dewasa.
Malah, Persatuan Jantung Amerika Syarikat turut menyatakan bahawa sebahagian penduduk dewasa di sana mempunyai sekurang-kurangnya satu jenis penyakit berkaitan dengan kardiovaskular.
Kajian menyatakan bahawa, pemakanan yang sihat serta aktiviti fizikal boleh membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung sehingga 80%.
Antara makanan yang baik untuk jantung ialah tinggi kandungan serat.
Usus kita dipenuhi dengan beberapa jenis bakteria yang berperanan membantu dalam proses pencernaan dan metabolisme.
Sesetengah daripada bakteria ini menghasilkan vitamin K dan juga B yang baik untuk usus manusia.
Namun, pemakanan yang tidak sihat seperti tinggi gula dan juga rendah serat boleh mengubah jumlah bakteria dalam usus ini.
Ini boleh menyebabkan keradangan berlaku dalam usus anda.
Selain itu, pemakanan yang baik juga berkaitan dengan pengurusan diabetes individu.
Pemakanan yang baik boleh membantu mengawal paras gula darah, tekanan darah dan paras kolesterol.
Kesemua ini boleh membantu melambatkan sebarang komplikasi lain yang disebabkan oleh penyakit diabetes.
Ramai yang tidak tahu, pemakanan juga boleh mempengaruhi mood atau emosi seseorang individu tersebut.
Ada kajian menyatakan, makanan yang tinggi nilai indeks glisemiknya boleh mencetuskan simptom kemurungan dan juga keletihan.
Antara contoh makanan yang mempunyai nilai glisemik tinggi seperti kek, roti putih, minuman soda dan biskut.
Oleh kerana itu, kita digalakkan untuk mengambil jenis makanan yang rendah nilai indeks glisemiknya seperti sayuran dan buah-buahan.
Ini boleh bantu mengawal emosi kita kelak.
Pemakanan yang baik juga sangat penting untuk meningkatkan kesihatan tulang dan gigi anda.
Pemakanan dengan jumlah kalsium dan magnesium yang tinggi boleh membantu menguatkan struktur gigi dan juga tulang.
Dengan itu, penyakit seperti tulang reput atau osteoporosis dapat dielakkan.
Antara contoh makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, keju, ikan dalam tin dan tauhu.
Makanan yang kita ambil setiap hari juga amat berkait rapat dengan risiko kanser.
Jika kita banyak mengambil makanan yang tinggi kandungan antioksidan, ia boleh membantu melindungi sel tubuh daripada kerosakan dan seterusnya mengurangkan risiko untuk mendapat kanser.
Antara jenis fitokimia dalam makanan yang bertindak sebagai antioksidan seperti vitamin A, vitamin C, likopena dan beta-karoten.
Selain daripada itu, salah satu kebaikan utama pemakanan yang seimbang adalah membantu meningkatkan memori kita.
Kajian pada tahun 2015 ada menyebut, terdapat sesetengah makanan yang boleh membantu mengurangkan risiko penurunan fungsi kognitif dan juga demensia.
Makanan dan nutrien tersebut seperti ikan, polifenol, flavonoid, vitamin D, vitamin C, vitamin E, dan asid lemak omega-3.